Ketika cuti sekolah kali, adalah murid-murid bakal melancong ke luar negara? Mungkinkah murid-murid akan bercuti ke sebuah kawasan peranginan yang agak jauh daripada kediaman kamu? Lihatlah panduan di bawah sebelum pergi bercuti :
Jumpa Doktor
Jika ingin bercuti ke luar negara, dapatkan pemeriksaan kesihatan daripada doktor. Jika perlu, dapatkan suntikan vaksin tertentu jika ditakuti kamu terdedah kepada penyakit-penyakit yang hanya terdapat di negara yang bakal dilawati. Jika murid-murid mempunyai penyakit dan memerlukan bekalan ubat tertentu, pastikan bekalan ubat mencukupi untuk tujuan percutian.
Bawa Beg Kesihatan Kembara
Beg ini mesti mengandungi ubat-ubatan asas yang boleh meredakan gejala kesakitan. Contohnya seperti jangka suhu, panadol, garam penghidrat jika berlaku cirit-birit, krim antiseptik, pil tahan sakit, kain pembalut luka, cecair untuk membalut luka dan sebagainya.
Bawa Krim Pelindung Matahari
Kemungkinan destinasi yang ditujui mengalami cuaca panas yang sangat terik. Krim pelindung diperlukan untuk mengelakkan kulit daripada mengelupas.
Rehat dan Tidur yang Cukup
Sebelum pergi bercuti, janganlah terlalu seronok sehingga melupakan waktu tidur yang biasa. Murid-murid perlu tidur dan rehat yang cukup sebelum berangkat ke destinasi yang dituju.
Bawa Air Minuman
Bawa air minuman yang mencukupi untuk diminum sepanjang perjalanan.
Pilih Menu Makanan
Pilihlah makanan yang kurang pedas, berempah dan terlalu berminyak. Lebihlah memakan buah-buahan. Hal ini dapat menyegarkan tubuh kamu. Jika memakan makanan terlalu pedas atau berempah, mungkin boleh mengakibatkan sakit perut atau cirit-birit.
Jaga Kebersihan
Amalkan membasuh tangan sebelum dan selepas makan. Menjaga kebersihan diri dapat mengelakkan kita daripada dijangkiti penyakit.
Memberus gigi juga perlu memerlukan langkah-langkah yang betul bagi mendapatkan hasil yang berkesan. Jika murid-murid tidak mengikut langkah-langkah yang betul, sisa makanan dan plak gigi tidak akan terhapus dengan berkesan. Langkah-langkah berikut dapat membantu murid-murid mengamalkan teknik memberus gigi secara berkesan :
Memberus gigi haruslah dimulakan dari permukaan luar dan dalam gigi. Berus diletakkan pada sudut kecondongan 45 darjah dan mulakan memberus dari atas gusi hingga ke gigi.
Kamu juga haruslah memberus pada permukaan gigi yang digunakan untuk mengunyah makanan. Pegang berus secara mendatar dan tolak berus ke luar dan ke dalam.
Langkah seterusnya, murid-murid hendaklah memberus pada bahagian dalam gigi hadapan. Tegakkan berus gigi dan beruslah secara perlahan-lahan dari dalam dan ke luar dengan hanya menggunakan hujung berus.
Tidak dilupakan juga untuk memberus bahagian celah-celah gigi. Bagi langkah ini murid-murid diingatkan supaya menggunakan berus yang lebih kecil supaya lebih mudah memberus keluar sisa makanan dan plak gigi.
Akhir sekali, murid-murid juga perlulah memberus bahagian lidah. Pegang berus gigi secara mendatar kemudian beruslah lidah dengan menolak berus ke hadapan dan ke belakang.
Murid-murid, kita mesti makan makanan yang seimbang. Makanan seimbang akan jadikan badan kita sihat dan memberikan kita tenaga untuk kegiatan harian.
Piramid Makanan
Piramid makanan adalah satu carta yang membantu kita untuk merancang pengambilan jenis-jenis makanan dan kuantiti makanan yang sesuai untuk kita setiap hari. Kumpulan makanan ini dikenali sebagai piramid makanan seperti roti dan bijiran, buah-buahan dan sayur-sayuran, daging, barangan hasil tenusu, lemak dan gula-gula.
i) Lemak, minyak dan gula - Makanan ini ada kolestrol. Kita perlu makan sedikit.
ii) Susu, telur, ikan dan daging - Makanan ini ada protein dan boleh membina tubuh badan. Kita perlu makan secara sederhana.
iii) Sayur-sayuran dan buah-buahan - Makanan ini ada vitamin dan boleh mencegah penyakit. Kita perlu banyak makan.
iv) Bijirin, nasi, mee, roti dan ubi - Makanan ini ada karbohidrat dan boleh memberi tenaga kepada kita. Kita perlu makan secukupnya.